
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Peniaga ayam mentah seperti pengusaha makanan berasaskan ayam serta para pengguna akur dan reda jika harga ayam dinaikkan setelah subsidi ayam tamat sejak Rabu lalu.
Hasil tinjauan krew Malaysia Aktif semalam mendapati rata-rata pasar raya besar di sini masih mengekalkan harga lama iaitu RM10.80 bagi ayam super (tanpa kaki dan kepala) walaupun kawalan harga dan subsidi ayam sudah ditamatkan.
Menurut peniaga ayam segar di Medan Niaga Satok, di sini Muliadi Jerawi, 53, para peniaga telah dimaklumkan lebih awal bahawa kenaikan harga ayam sebanyak 80 sen akan berkuatkuasa bermula hari ini (Jumaat).
“Saya terpaksa menaikkan harga pada jumlah yang sama bagi menampung kos pengangkutan dan membersih ayam bagi sekilogram ayam super yang sekarang dijual pada harga RM10.80,” katanya.
Bagi pemilik Crispy Fried Chicken (CFC) Sarawak, Muhd Hafiz, 34, sebagai pengusaha makanan yang 100 peratus berasaskan ayam, perniagaannya memang terkesan jika harga ayam meningkat.
“Namun saya tetap akur dengan keadaan ekonomi semasa.
“Sebagai seorang peniaga, saya sentiasa mengeluarkan produk yang berkualiti dan terbaik kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan walaupun harga bahan mentah terus meningkat.
Sementara itu bagi peniaga sate Chai Mui Choo, 31, beliau berharap kenaikan harga tidak terlalu tinggi dan memohon agar kerajaan akan terus memantau dan mengawal harga ayam supaya tidak membebankan peniaga dan pengguna.
Perkara yang sama turut dikongsikan oleh pemandu pelancong Nik Nadila Nik Idris, 30, yang berkata kenaikan harga ayam yang bakal dihadapi terpaksa diterima namun berharap ianya tidak begitu besar kerana ayam merupakan barang keperluan bagi setiap isi rumah.
-ZS-