Skip to main content
MA

Elaun Pengurus, Penolong Pengurus PEDi Naik RM2,000 hingga RM2,500 Bermula Januari 2024

By 29 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
PediMadani

Laporan/foto: Hisham Salleh/FB Anwar Ibrahim & Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 29 Nov (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan kenaikan elaun setiap pengurus dan penolong pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) kepada RM2,500 dan RM2,000, bermula Januari 2024.

Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa Persidangan PEDi MADANI 2023 yang diadakan di sini.

Program tersebut mengiktiraf para pengurus dan penolong pengurus PEDi yang merupakan tulang belakang dan nadi penggerak kepada PEDi di seluruh negara.

Jelas Datuk Seri Anwar, transformasi digital merupakan antara tunggak dalam strategi Ekonomi MADANI, dan pihak yang terlibat secara langsung dengan PEDi, berjaya memanfaatkan kegunaan PEDi bagi komuniti setempat.

“PEDi ini merupakan satu strategi yang sangat penting dan kita harus pastikan ia lebih berhasil. Keluarga PEDi akan jadi lebih besar, kita mulakan dengan RM25 juta dan sekiranya perlu tambah, saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata, kenaikan elaun tersebut dapat memberi semangat dan motivasi untuk para pengurus dan penolong pengurus bergerak lebih maju.

“Saya lihat ada kewajaran terutama kita lihat ramai daripada pengurus ini, mereka kerja keras dan saya rasa mereka layak,” tambahnya.

Terdahulu semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, Fahmi berkata, kadar penggunaan aktif PEDi adalah sebanyak 94 peratus — sekaligus menunjukkan kesetiaan pengguna terhadap PEDi.

“Tahap kesedaran masyarakat terhadap PEDi adalah tinggi dan 89 peratus responden telah memberi maklum balas positif terhadap perkhidmatan serta program yang ditawarkan,” ujar beliau.

Persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hari ini, telah menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung terdiri daripada pengurus, penolong pengurus PEDi, usahawan-usahawan, rakan-rakan strategik MCMC yang terlibat dengan PEDi, serta pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

-HS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda