
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
BAGAN DATUK, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Pertemuan antara barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan rakyat dalam Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri ke-10 di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini semalam dapat digambarkan bagai pepatah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.
Dalam program tersebut, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad mengetuai barisan pentadbiran kerajaan negeri dengan meluangkan masa menyantuni dan menyelami luahan emosi rakyat dalam mencari titik noktah penyelesaian masalah yang dihadapi mereka.
“Sebanyak 90 aduan diterima hari ini dan bermula dari siri pertama hingga kesembilan, sebanyak 1,308 aduan telah diterima.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,013 aduan telah berjaya diselesaikan manakala baki sebanyak 295 aduan masih dalam tindakan,” ujarnya ketika ditemui.
Turut berlangsung Program Jualan Rahmah melalui kerjasama rakan strategik Segi Fresh dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak yang menawarkan jualan murah keperluan asas dengan potongan sehingga 50 peratus.
-ZS-