Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

KRT Lubok Temiang Naib Johan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023

By 8 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KRT Lubok Temiang

LABUAN, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Lubok Temiang melakar sejarah manis apabila merangkul naib johan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023 bagi Kategori Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik.

Menurut Pengerusinya, Awangku Sazali Pengiran Salleh kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama KRT Kampung Lubok Temiang malah turut menaikkan nama Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kejayaan ini amat manis bagi kami kerana anugerah ini menjadi rebutan KRT di seluruh negara lebih-lebih lagi KRT kami adalah calon tunggal dari Borneo tersenarai dalam kategori itu.

“Sebelum ini Kampung Lubok Temiang juga meraih beberapa kejayaan antaranya Naib Johan Anugerah Ilham Desa 2021 Peringkat Kebangsaan dan Johan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan.

“Jelasnya lagi, Jawatankuasa KRT Lubok Temiang sentiasa mengutamakan pengurusan secara teratur selain menganjurkan program-program berasaskan perpaduan kaum dan memperkasakan ekonomi komuniti selari dengan peranan KRT sebagai penggerak kepada aspirasi Kerajaan untuk memperkasa rakyat,” katanya semalam.

Tambahnya, KRT Kampung Kilan Pulau Akar yang juga mewakili Labuan turut melakar kejayaan apabila mendapat tempat kelima dalam kategori Anugerah Projek Ekonomi Terbaik.

“Sebanyak 8,938 KRT seluruh negara menyertai Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023 yang mempertandingkan lapan kategori iaitu Anugerah Jiran Muda Terbaik, Anugerah Jiran Wanita Terbaik, Anugerah Jiran Warga Emas Terbaik, Anugerah Tunas Jiran Terbaik, Anugerah Skim Rondaan Sukarela Terbaik, Anugerah Projek Ekonomi Terbaik dan Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Bangi Avenue Convention Centre pada Ahad lalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda