Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Guna Bot Amfibia Hadapi Banjir

By 19 November 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Selangor kini memiliki sebuah bot amfibia untuk kegunaan membantu mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor Mohd Najwan Halimi, berkata bot amfibia terkini berkenaan diperoleh dari negara New Zealand boleh menampung sehingga 10 orang dalam satu masa.

“Bot ini boleh digunakan di dalam air dan di darat serta dilengkapi teknologi sonar yang boleh mengesan gelombang dalam air.

“Ini penting kerana Selangor dalam kesiapsiagaan yang tinggi terutama ketika musim monsun timur laut (MTL),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian penutup Latihan Pengendalian Bot dan ‘Water Confidence’ peringkat negeri Selangor di Empangan Batu Sungai Tua, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari.

Mengulas mengenai persediaan di kawasan yang sering dinaiki air, ADUN Kota Anggerik itu memaklumkan Menteri Besar telah mengarahkan jawatankuasa infrastruktur negeri untuk memanggil semua agensi terlibat.

“Perbincangan tersebut untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan pembaikan atau menaik taraf infrastruktur seperti ban atau sistem tebatan banjir.

“Menteri Besar mahu ia dilaksanakan segera kerana kita tidak mahu kejadian banjir di sesuatu kawasan tersebut berulang lagi,” jelasnya.

Menurutnya, ini adalah pendekatan dan keputusan kerajaan negeri untuk menyelaraskan semua projek-projek infra yang berkaitan dengan banjir disegerakan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda