Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Anak Orang Asli Pekan Bawa Cabaran Robotik ke China

By 8 Disember 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/FB Cikgu Mazlan Muhamad

PEKAN, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Dua pelajar dari Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang, di sini telah mencipta sejarah menjadi murid Orang Asli pertama yang mewakili Malaysia ke pertandingan Make-X Challenge Robotic Antarabangsa yang berlangsung di Yantai, Shandong, China pada 8 hingga 10 Disember ini.

Adik Nazril Nazran dan Aizal Rashid kedua-duanya berusia 12 tahun yang berketurunan kaum orang asli Jakun dari kampung Permatang Keledang telah menyertai tujuh siri pertandingan dalam negara sebelum melayakkan mereka mewakili negara.

Mereka menduduki tempat naib johan dalam pertandingan Make-X Challenge Robotic Peringkat Kebangsaan 2023 melayakkan bertanding di Make-X Challenge Robotic Antarabangsa 2023.

Menurut Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Pekan Mohd Ghazali Sulaiman pencapaian kedua-dua pelajar ini amat membanggakan kaum Orang Asli terutama yang bermastautin di Pekan.

“Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) amat berbangga dan sentiasa menyokong semangat juang pelajar ini agar ia menjadi contoh teladan yang positif,” katanya, di sini semalam.

Tok Batin Permatang Keledang Norman Ming ketika dihubungi menyifatkan kejayaan anak buahnya ini amat luarbiasa dan seluruh warga kampung mendoakan agar kedua-duanya kembali ke tanah air dengan membawa pulang kemenangan.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya Datuk Mohd Nizar Najib dan Kerajaan Negeri Pahang yang turut membantu melancarkan perjalanan mereka untuk bertanding,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda