Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperkukuhkan komitmen mereka terhadap usaha memulihara alam sekitar menerusi program tanggungjawab sosial korporat, Pembersihan Pantai dan Hutan Paya Bakau ‘A Wave of Change’ di Kampung Sungai Melayu, di sini semalam.
Inisiatif yang pertama kali dilancarkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang ini menyaksikan penyertaan yang menggalakkan oleh lebih 150 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan PAAB, Syarikat Ranhill Saliran Air Johor (SAJ), pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penduduk kampung.
Ketua Pegawai eksekutif PAAB Zulkiflee Omar, berkata PAAB menyahut seruan kerajaan untuk mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050 dengan memberi penekanan ke arah aktiviti yang berteraskan kelestarian alam sekitar.
“Program seumpama ini diharap dapat menyemarakkan lagi semangat orang ramai terutamanya penduduk setempat untuk menghargai dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya selepas majlis perasmian Pembersihan Pantai dan Hutan Paya Bakau 2023 yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.
Sementara itu, Pandak ketika ditemui, berkata usaha memelihara pantai dan hutan paya bakau ini selari dengan dasar Kerajaan Negeri Johor dan sambutan Tahun Melawat Johor pada tahun 2026.
“Di Johor kita ada program Johor Bersih yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan saya akan terus menyokong dan mengalu-alukan kerjasama seperti ini dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
-ZS-