Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Legasi Tukang Kasut Jalan Berek Kangar

By 14 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 14 Dis (Malaysiaaktif) –Tukang Kasut Jalan Berek di sini telah memulakan profesionnya semenjak lebih 30 tahun yang lalu dengan alatan utamanya seperti besi kaki tiga dan jarum jahit.

“Saya berada di sini sebelum wujud lagi Pasar Raya The Store ni (ini),” ujar Razali Rejab, 61, yang dikenali dengan gelaran Tukang Kasut Jalan Berek.

Walaupun pekerjaan yang dilakukan tidak seperti kerja-kerja yang lain, namun menurutnya ia adalah sumber rezeki beliau dan kini diwarisi anaknya.

“Anak kedua saya satu-satunya anak lelaki, Muhamad Hamdi Razali, 31, adalah anak yang mewarisi pekerjaan saya kini, walaupun dia tau (tahu) semua cara perbaik (memperbaiki) kasut, tapi saya masih bekerja mencari rezeki bersamanya,” ujarnya.

Katanya, membaiki kasut merupakan punca rezeki utamanya selama hampir 34 tahun di bandar Kangar.

“Ini sahaja cara dan punca rezeki saya, kini saya lega kerana anak mewarisi kemahiran memperbaiki kasut.

“Pada mulanya, anak saya hanya membantu pada musim cuti sekolah tetapi lama-kelamaan anaknya kini mahir dan kini merupakan legasi saya,” ujar beliau yang ditemui di tapak premisnya di Bangunan Arked Mara, di sini pagi tadi.

Melihatkan pekerjaan itu mampu memberikan pendapatan sekeluarga biarpun tidak lumayan, beliau antara tukang kasut yang paling lama bertahan dan terus berada di bandar itu.

Katanya lagi, rata-rata pelanggan yang datang untuk membaiki kasut adalah daripada semua lapisan umur dan latar belakang.

“Kadar harga yang dikenakan untuk memperbaiki kasut bermula daripada RM10 sehingga RM50.

“Pernah juga pelanggan yang datang minta perbaiki kasut-kasut yang mahal, tetapi saya akan tengok kemampuan untuk menerimanya atau tidak,” ujarnya.

Menurut Razali, pada musim-musim tertentu seperti Hari Sukan Sekolah atau Bulan Kebangsaan, kasut-kasut sukan atau kasut kawad akan banyak diterima untuk diperbaiki.

-ZS-

Tinggalkan komen anda