Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Tinggalan Sejarah Kesultanan Kedah di Kampung Kota, Permatang Pasir

By 11 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nazlia Naim/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Terletak di Kampung Kota, Permatang Pasir, di sini terdapat tinggalan sejarah iaitu makam diraja daripada kesultanan Kedah.

Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah Tuan Kamarul Haizal Koderat telah mengambil inisiatif untuk memulihara dan memelihara kawasan makam serta komited untuk membangunkan kawasan ini sebagai salah satu tarikan pelancongan dan warisan sejarah.

“Saya berharap agar warisan sejarah seperti ini dapat dipelihara dengan sebaiknya agar generasi akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah negara sekali gus dapat meningkatkan industri pelancongan.

“Terima kasih kepada kerabat diraja Kedah dan Perak kerana memberi kerjasama yang baik dalam usaha untuk mengekalkan tinggalan sejarah yang bermakna ini,” ujarnya semalam.

Mengikut sejarah kawasan ini mula diterokai oleh Almarhum Tunku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah sebelum tahun 1821 lagi.

Pada 12 November 1821 ketika armada Siam dari Ligur menyerang dan menawan Kedah, kekandanya Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II Sultan Kedah ke-22 (1804-1845) sempat menyelamatkan diri dari istananya di Pulau Tiga, Kuala Muda ke kawasan ini. Baginda telah diselamatkan oleh adindanya Tunku Sulaiman sebelum mendapatkan perlindungan Inggeris di Pulau Pinang.

Kampung Kota ini juga dipercayai pernah dijadikan kubu pertahanan dan pusat perjuangan Tunku Sulaiman serta pejuang-pejuang Kedah untuk melancarkan beberapa siri serangan ke atas pendudukan tentera Ligur di Kedah pada tahun 1821 hingga 1839. Kawasan ini kemudiannya dijadikan tanah wakaf dan diserahkan oleh pemerintah Inggeris di Pulau Pinang kepada keluarga Tunku Sulaiman untuk dijadikan Makam Diraja Kedah.

Antara keluarga diraja Kedah yang dimakamkan ialah Almarhum Tunku Abdullah, Tunku Sulaiman dan Tunku Kutam.

Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Daerah Seberang Perai Tengah merangkap Pengerusi Majlis Perasmian Makam Diraja Kampung Kota Mohd. Noor Romlee, berkata inisiatif yang diambil oleh Tuan Kamarul amatlah dihargai dan dialu-alukan demi memelihara kawasan tinggalan sejarah.

“Hari ini kita dapat lihat kawasan makam telah dinaik taraf dan diselenggara dengan begitu baik sekali. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mempertahankan tapak warisan sejarah ini,” ujarnya.

Turut hadir wakil Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang Ustaz Haji Abdul Rashid Abd. Jalil, Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang Datuk Seri Pulayantran Kayambu, ahli-ahli Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia Pulau Pinang dan ketua-ketua masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda