Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

SMK Seri Pekan Wakili Malaysia di Thailand World Music Championship

By 11 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/FB Khai Kizcr

PEKAN, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan bakal menyahut cabaran mewakili Malaysia di Thailand World Music Championship (TWMC) bermula 13 Disember ini.

Pasukan SP Marching Band sekolah tersebut mewakili Malaysia dalam kategori ‘Street Parade’, ‘Brass Battle’, ‘Color Guard Show’ dan ‘Color Guard Battle’.

Menurut guru muzik sekolah yang juga jurulatih SP Marching Band Cikgu Mohd Khiril Izam Che Rahim, hasil kejayaan meraih tempat kedua di pertandingan ‘Malaysia National Band Competition’ atau NatComp pada tahun 2022 di Kedah, SMK Seri Pekan telah ditawarkan untuk menyertai TWMC 2023.

“Inilah kali pertama SP Marching Band menyertai pertandingan yang berperstij di luar negara.

“70 murid saya telah bersedia menghadapi cabaran kali ini walaupun terpaksa mengharungi satu perjalanan yang amat jauh,” katanya.

Tambahnya lagi, pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa nanti akan mematangkan anak didiknya dan mereka telah bersedia serta berlatih bersungguh-sungguh hampir 10 bulan untuk membawa cabaran Malaysia ke Thailand.

Bagi salah seorang anggota SP Marching Band adik Nik Adeeba Rauqah Nik Mohd Sanadi, 11, berkata dia dan kawan-kawannya sangat teruja.

“Tidak sabar nak buat pertunjukan di Thailand sebab inilah kali pertama kami ke luar negara dan menyertai pertandingan yang besar seperti ini,” katanya pada Sabtu.

Pengetua Zahamana Zainuddin turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian pelajarnya dan pengalaman menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa seumpama ini amat berharga buat mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya Datuk Mohd Nizar Najib dan terutamanya kepada pihak Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) diterajui Datuk Ahmad Islanizam yang bertungkus lumus berusaha mengumpul dana bagi merealisasikan impian anak-anak SMK Seri Pekan bertanding di luar negara,” ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda