Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

21 Kaunter PADU Dibuka Sekitar Kuala Lumpur

By 10 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Irina Abd Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Perangkaan (DOSM) Wilayah Persekutuan telah membuka kaunter fizikal Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di 21 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sekitar Kuala Lumpur bagi memudahkan warga ibu kota membuat pendaftaran dan pengemaskinian maklumat dalam sistem data baharu itu.

Kemudahan capaian internet yang baik dan percuma di PEDi itu memudahkan masyarakat setempat khususnya warga emas dan OKU di Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk mengakses laman sesawang sistem PADU tersebut.

Menurut M. Manimala, 53, proses pendaftaran dan pengemaskinian PADU di PEDi PA Seri Sarawak adalah lebih mudah dan cepat.

“Daftar PADU di PEDi ini sangat menyenangkan dengan dibantu oleh staf Jabatan Perangkaan untuk saya mengisi dan mengemas kini maklumat yang diperlukan.

“Sebelum ini saya tak pernah dapat bantuan daripada kerajaan dan saya harap dengan isi (maklumat) di PADU ini mungkin ada bantuan-bantuan yang saya layak terima,” ujarnya yang merupakan anak jati Kuala Lumpur ketika ditemui Malaysia Aktif semalam.

Sementara itu, petugas kaunter PADU Sulasmin Suruji, 38, berkata sambutan agak menggalakkan khususnya daripada golongan warga emas.

“Tak perlu susah pergi jauh, penghuni PPR Sri Pantai ini terutamanya atuk nenek hanya perlu turun ke bawah (tingkat bawah) dengan membawa tiga benda penting, iaitu kad pengenalan, salinan kad pengenalan ahli keluarga yang ingin berdaftar sekali dan salinan nombor akaun bank,” jelas Sulasmin yang bertugas di kaunter PADU di PPR Sri Pantai, di sini sejak 2 Januari lalu.

Pelaksanaan pendaftaran sistem PADU ini cukup penting dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada mendapatkan bantuan kerajaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda