Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

29 Orang Asli Gembira Terima Sumbangan Keperluan Bayi

By 24 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 29 Orang Asli gembira menerima barangan keperluan bayi sumbangan sebuah syarikat korporat dalam program yang diadakan di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), di sini semalam.

Program disempurnakan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan (KKM) Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berupa barangan keperluan bayi termasuk tilam serta lampin pakai buang kepada 29 wanita Orang Asli yang baharu dan bakal melahirkan bayi.

Dr. Mohd Azman, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seumpama itu selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan hak kesihatan sama rata kepada semua.

“Harap usaha sama ini menjadi permulaan kerjasama untuk aktiviti komuniti dan diperluaskan ke hospital lain mengikut keperluan komuniti di situ,” katanya.

Turut hadir Pengarah HOAG Dr. Izandis Mohamad Sayed dan Pengarah Komunikasi Korporat AEON Dr. Kasuma Satria Mat Jadi.

Sementara itu seorang penerima yang ditemui, Suhainy Jussery, 26, berkata beliau tidak menyangka akan menerima sumbangan tersebut kerana dia bersama suami belum membuat sebarang persiapan bagi menyambut kelahiran bayi kedua yang dijangka pada Mei depan.

Menurutnya, pendapatan suami sekadar cukup makan menyebabkan dia bercadang mengguna semula baju serta kelengkapan bayi yang sedia ada.

“Fokus masa ini hanya mahu bayar hutang jadi belum buat persiapan langsung untuk sambut bayi kedua ini,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda