Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Dapatkan Perkhidmatan di Kaunter PADU Untuk Elak Jadi Mangsa Scammer

By 19 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Berry Taimin (Sabah)

PUTATAN, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Khuatir dengan jenayah penipuan dalam talian (online scam) membuatkan segelintir masyarakat lebih memilih untuk mendaftar sistem Pangkalam Data Utama (PADU) di kaunter fizikal yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) Sabah.

Tinjauan yang dilaksanakan Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah di beberapa Kaunter PADU di sekitar daerah Kota Kinabalu mendapati masyarakat yang hadir untuk mendaftar kebanyakannya adalah golongan warga emas.

Menurut Siti Hartinah Izhar, 49, peluang untuk mengemas kini PADU secara fizikal merupakan pilihan terbaik pada masa kini selain gusar jika ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan data tersebut untuk melakukan penipuan.

“Bagi saya adalah lebih selamat mendaftar di kaunter yang disediakan bagi mengelak masalah penipuan yang semakin berleluasa selain perkhidmatan ini juga membantu mereka yang kurang menguasai teknologi maklumat terutama golongan warga emas,” katanya ketika ditemui di kaunter PADU Pejabat Daerah Putatan pada Khamis.

Bagi Poluan Jominol, 58, kaunter fizikal PADU sangat membantu proses kemas kini khususnya bagi mereka yang kurang memahami sistem data berkenaan di samping mendapat penjelasan secara langsung daripada pegawai bertugas.

“Mendaftar secara dalam talian menyukarkan saya untuk mengakses sistem PADU, jadi saya datang ke sini bagi mendaftar di kaunter yang disediakan pada hari ini, dengan bantuan pegawai DOSM saya telah berjaya mendaftar seterusnya mengemaskini data PADU ini,” ujarnya.

Sementara itu, JaPen Sabah menerusi Pusat Maklumat Rakyat (PMR) turut menjadi platform bagi masyarakat yang ingin mengemaskini data PADU.

Pesara pensyarah, Baharudin Dato Chinchang Ujang, 77, berterima kasih kepada pihak JaPen kerana turut menyediakan fasiliti seperti PMR memudahkan orang ramai mengakses PADU.

“Saya menyarankan orang ramai agar mengunjungi PMR kerana terdapat kemudahan talian internet memudahkan akses PADU kerana di sini ada kakitangan yang boleh membantu dan menjelaskan mengenai sistem ini,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda