Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kreativiti Guru Tabika Perpaduan Patut Dicontohi

By 22 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Ruddy M. Hams/Hizami Hanif (Petaling)

PETALING JAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi menyeru ibu bapa agar memahami dan menghargai tugas guru Tabika Perpaduan.

Katanya, golongan berkenaan bukan hanya bertugas untuk menjaga murid tetapi juga mendidik mereka menjadi insan yang kreatif dan cemerlang.

“Kreativiti yang ditunjukkan guru-guru Tabika Perpaduan yang mencipta elemen baharu dalam dunia pendidikan perlu dipuji.

“Kreativiti mereka menggunakan barangan kitar semula untuk menghasilkan bahan pengajaran yang menarik dan mudah difahami oleh murid-murid,” katanya semasa merasmikan Program Pintar Kreatif di AEON Mall, Shah Alam, dekat sini kelmarin.

Program anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Petaling dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Petaling itu menyaksikan beberapa pertandingan yang disertai oleh 22 Tabika Perpaduan di daerah tersebut.

Antaranya pertandingan yang diadakan seperti deklamasi sajak, bercerita, bicara berirama dan pameran inovasi.

Kumpulan Permata Genius mengungguli pertandingan Bicara Berirama diikuti Kumpulan Pejuang dan Kumpulan Elite masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Bagi Pertandingan Deklamasi Sajak pula johan dirangkul adik Nur Miqayla Saffiya Sudirman, Naib Johan Abdul Wafiy Karim Abdul Khaliq manakala ketiga Muhammad Ziyad Zikri Muhammad Fadil.

Turut hadir Pegawai Perpaduan Daerah Petaling, Dayangku Kamalia Awangku Sulhi, Pegawai Penerangan Daerah Petaling Ruddyansjah Mahtar Hams, Pengurus AEON Mall Shah Alam Suhaila Mohd Fadzil dan Pengurus Perhubungan Kerajaan, Jabatan Komunikasi Korporat AEON Mall Shah Alam Azah Sulaiman.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda