Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Lapan Kaunter PADU Dibuka di Daerah Jempol Memudahkan Masyarakat Orang Asli

By 12 Januari 2024Januari 13th, 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Naim/Samsulkhair (Jempol )

JEMPOL, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Bagi memudahkan masyarakat pinggir bandar dan  luar bandar membuat pendaftaran dan pengemaskinian maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Sembilan telah mengambil langkah dengan membuka kaunter fizikal di lapan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang berada di daerah Jempol.

Kebanyakan masyarakat Orang Asli berasa teruja dan bersyukur kerana kesanggupan pihak agensi untuk turun padang.

Menurut salah seorang masyarakat kampung orang asli Sungai Lui, di sini kelmarin Asai Patik, 60, proses pendaftaran dan pengemaskinian PADU di PEDi Felda Sungai Lui adalah lebih mudah dan cepat kerana lokasi yang berhampiran perkampungan Orang Asli.

“Membuat pendaftaran PADU di PEDi ini sangat selesa dan tidak perlu berebut kerana kemudahan yang begitu lengkap dan selesa dengan dibantu oleh pegawai darpada Jabatan Perangkaan Negeri Sembilan untuk saya mengisi dan mengemas kini maklumat yang diperlukan.

“Pendedahan seperti ini perlu diteruskan kepada masyarakat OrangAasli kerana masih ada golongan kami yang tercicir daripada menerima bantuan disebabkan tiada sesiapa yang membantu,” katanya.

Katanya lagi, pengisian maklumat di PADU akan melayakkannya menerima bantuan dan meringankan beban diri dan keluarganya.

Sementara itu, Pengurus  PEDi Felda Sungai Lui Sapiah Adam, 42, berkata sejak kaunter dibuka pada 9 Januari lalu seramai 230 orang telah membuat pendaftaran dan sambutan agak memberangsangkan khususnya daripada kalangan masyarakat orang asli.

“Ini antara salah satu peranan kami iaitu memberikan kemudahan kepada masyarakat kampung khususnya masyarakat Orang Asli dan warga tempatan untuk membuat pendaftaran iaitu dengan hanya membawa kad pengenalan, salinan kad pengenalan ahli keluarga yang ingin berdaftar sekali dan salinan nombor akaun bank supaya tiada golongan yang tercicir,” ujarnya.

Pelaksanaan pendaftaran sistem PADU ini cukup penting supaya tiada rakyat yang tertinggal mendapatkan bantuan-bantuan daripada kerajaan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda