Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Penjawat Awam di Terengganu Digesa Daftar Segera PADU

By 12 Januari 2024Januari 13th, 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Amiruddin Ishak/Suhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Penjawat awam di seluruh negeri Terengganu digesa untuk segera mendaftar di Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Setiausaha Kerajaan Terengganu Tengku Seri Bijaya Raja berharap tiada individu daripada penjawat awam Kerajaan Negeri yang tercicir dalam pengemaskinian maklumat PADU.

“Penjawat awam sentiasa dalam radar kerajaan bagi memperoleh manfaat serta inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya ketika menghadapi musibah ataupun bencana.

“Maklumat yang telah dibekalkan oleh kementerian dan agensi perlu dikemas kini bagi mengambarkan status terkini rakyat dalam PADU. Ini akan menambah baik mekanisme penentuan kumpulan sasar, memperkemas saluran penyampaian dan memboleh perlaksanaan program yang lebih berkesan.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata demikian dalam ucapan perasmian ketika melancarkan PADU bersama penjawat awam di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Majlis tersebut merupakan satu usaha oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Terengganu dalam meningkatkan kesedaran kepentingan PADU dalam kalangan penjawat awam.

Tambahnya lagi, pelbagai strategi telah dirancang dengan teliti oleh pihak DOSM dan pentadbiran negeri dalam memastikan populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas terutamanya penjawat awam di negeri Terengganu ini akan mengemas kini dan selesai pengisian sistem PADU.

PADU yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sistem digital yang selamat dan komprehensif bagi membantu dalam digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat.

Kaunter pendaftaran portal PADU turut dibuka bagi kemudahan kakitangan awam untuk mengemas kini sistem tersebut.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda