Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Paluan Geduk: Khabar Berita atau Kejadian yang Hendak Disampaikan?

By 17 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)

TANAH MERAH 17 Jan (Malaysiaaktif) – Geduk atau beduk suatu ketika dahulu merupakan satu alat pemberitahuan yang sangat penting apabila berlaku kejadian atau cara menyampaikan maklumat kepada penduduk di sesuatu tempat.

Geduk biasanya akan dipalu dengan rentak tertentu bagi membawa mesej berbeza kepada penduduk.

Antara berita yang disampaikan menerusi paluan geduk adalah berbeza seperti masuknya waktu solat, berlaku kematian, kedatangan orang kenamaan dan lain-lain.

Geduk diperbuat daripada batang kayu besar seperti pokok balak yang ditebuk di tengah untuk diletakkan kulit binatang seperti kulit kerbau atau lembu yang telah dikeringkan.

Walaupun, geduk masih lagi wujud dan masih digunakan di sesetengah masjid dan surau tetapi penggunaannya tidaklah seaktif seperti zaman dahulu kerana adanya peralatan moden seperti pembesar suara.

Menurut Imam Masijid Mukim Kampung Tebing Tinggi, Ulu Kusial, Ustaz Muhammad Darul Hisham Kamaruddin, 49, apabila masuk saja waktu solat, bilal atau salah seorang ahli jawatankuasa masjid akan memalu geduk sebagai tanda telah masuk waktu dan  cara untuk mengajak orang ramai datang ke masjid bagi solat berjemaah.

“Geduk ini dipalu dengan kuat agar bunyinya dapat didengari oleh penduduk sekitar supaya datang ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya.

Pemalu geduk Zakaria lsmail, 67, berkongsi cara untuk menyampaikan berita kematian di kampung ini, melalui paluan tiga kali berulang menyatakan ada lelaki meninggal dunia dan tiga kali sahaja menandakan jenazah adalah wanita.

“Beza bunyi paluan adalah paluan berita kematian individu lelaki adalah lebih panjang dan nyaring, manakala paluan bagi berita kematian individu wanita adalah singkat.

“Ahli kariah setempat sudah sedia maklum dengan bunyi paluan geduk ini,” katanya.

Menurut penduduk kampung Muhamad Zin Wahab, 74, selaku orang lama di kampung ini, geduk yang terdapat di masjid ini sudah lama dan diletakkan di masjid kayu sebelum dipindahkan ke masjid baharu yang berdekatan.

“Ambo (saya) tahu tahun1958 geduk ini dah ada, sejarah pembuatan geduk ini ambo tak tahu sangat, sudah banyak kali geduk ini dipulihkan dan diperbaiki agar geduk ini kekal keasliannya,” katanya penuh semangat.

Namun menurutnya lagi apa yang dikesalkan ada sesetengah orang datang mengambil kulit geduk ini untuk dijadikan amalan tidak baik seperti memuja dan ritual nombor ekor.

“Sejarah keaslian dan kesenian geduk ini wajar dipelihara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda