Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Rakyat Johor Bahru Berhimpun Sambut Konvoi Sultan Johor

By 31 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 5,000 warga Johor Bahru berhimpun sepanjang laluan konvoi yang membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menuju ke Hangar Diraja Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini pagi tadi.

Orang ramai mula berkumpul seawal pukul 7.00 pagi bermula dari perkarangan Istana Bukit Serene sehingga ke Skudai bagi memberi lambaian kasih kepada Sultan Johor yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Salah seorang penduduk dari Kampung Pasir, Othman Sidek, 78, berkata inilah sejarah yang tercipta sekali lagi bagi beliau kerana dapat melihat Sultan Johor berangkat ke Istana Negara dan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Seawal pukul 7.00 pagi saya telah berada di hadapan laluan yang akan membawa konvoi Sultan Johor dan saya rasa gembira serta sangat bersyukur kerana Sultan Johor kali ini telah dipilih menerajui negara selama lima tahun sehingga tahun 2029.

“Saya doakan semoga Tuanku berada dalam keadaan sihat dan dapat menjadi Ketua Negara yang adil dan bijaksana sepanjang pemerintahannya,” katanya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi menggantikan Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah tamat tempoh pemerintahannya semalam.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda