Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Rebut Peluang Jalani Ujian HPV DNA Secara Percuma – Nancy

By 20 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Golongan wanita diseru untuk tampil melakukan Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) secara percuma melalui kemudahan yang disediakan kerajaan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri kos ujian HPV DNA di hospital swasta adalah di antara RM300.00 hingga RM500.00 sekali ujian.

“Menyedari hakikat ini, pelbagai usaha diambil Kerajaan dalam membantu wanita memerangi gejala penyakit kanser serviks ini antaranya menerusi pelaksanaan Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak tahun 2019.

“Wilayah Persekutuan Labuan sendiri, bagi tahun 2022 dan 2023 seramai 614 orang wanita telah menjalani ujian HPV DNA yang dilaksanakan oleh LPPKN dan seramai 45 orang wanita telah disahkan positif HPV, angka ini masih rendah iaitu hanya tiga peratus sahaja berbanding jumlah penduduk wanita Labuan yang berumur 30-65 tahun seramai 21,600 orang,” katanya berucap semasa Program Kasih KPWKM: Gempur Saringan HPV DNA Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024 di sini pagi tadi.

Jelasnya, Kementerian melalui LPPKN sememangnya memandang serius mengenai isu kesihatan serviks.

“Dengan kemajuan teknologi yang berkembang pesat, kebanyakan wanita yang dikesan menghidapi penyakit kanser serviks pada peringkat awal masih boleh dirawat dan diselamatkan.

“Kaum adam turut memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri, ibu dan ahli keluarga wanita yang lain untuk tampil menjalani pemeriksaan,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda