Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

RM44 Juta untuk Bantuan Pendidikan Anak-Anak Sabah – Arifin

By 29 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/UMSKAL

LABUAN, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sabah telah melaksanakan beberapa program bantuan pendidikan di bawah Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM44 juta pada tahun ini termasuk peruntukan sebanyak RM300 ribu kepada Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA).

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, kerajaan negeri sentiasa prihatin mengenai kebajikan semua mahasiswa Sabah khasnya golongan B40 di dalam dan luar negara kerana mereka merupakan modal insan yang akan menyambung agenda Pelan Pembangunan  Sabah Maju Jaya.

“Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara sekali beri (BUDI) diteruskan lagi pada tahun ini dengan bantuan sebanyak RM1,500, akan diberikan kepada pelajar pengajian di peringkat Diploma dan Matrikulasi manakala sebanyak RM 2,000 untuk peringkat Ijazah.

“Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar-pelajar IPT dari golongan e-Kasih dan tidak berkemampuan untuk membeli komputer bagi tujuan pembelajaran juga akan diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya.

Mohd Arifin berkata demikian semasa berucap pada Program Ramah Mesra Bersama kira-kira 100 pelajar Sabah  di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), di sini kelmarin.

Terdapat kira-kira 700 pelajar dari Sabah yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Katanya lagi, bantuan-bantuan pendidikan yang lain seperti Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) untuk anak yang lahir tahun 2023 juga tetap diteruskan pada tahun ini.

Turut diadakan Taklimat Bantuan Pendidikan  dari Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda