Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Taklimat Berpusat PADU Pastikan Rakyat Terengganu Tidak Tercicir

By 8 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nooraini Che Aziz/Maznah Ngah (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Taklimat berpusat bagi Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) kepada Ketua-ketua Jabatan di Wisma Persekutuan Negeri Terengganu telah diadakan di Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu (DOSM), bermula kelmarin.

Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu Wan Umi Salihah Wan Kamaruddin, seramai 22,632 orang berumur 18 tahun ke atas di negeri ini telah mendaftar PADU sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.

“Sebanyak 13 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) menyediakan khidmat kaunter fizikal dan akan diperluas ke semua 66 buah PEDi di Terengganu secara berperingkat bagi memberi khidmat bantuan kepada rakyat untuk mendaftar dan mengemas kini PADU.

“Fasa Pertama pendaftaran dan pengemaskinian maklumat PADU adalah bermula pada Januari 2024 sehingga Mac 2024,” katanya.

Katanya lagi, Jabatan Perangkaan sedang merancang untuk membuka kaunter-kaunter khidmat pendaftaran dan pengemaskinian PADU antaranya di pusat membeli-belah, universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti serta kawasan-kawasan komuniti bagi memastikan 771,000 data PADU dapat didaftar dan dikemas kini di negeri ini.

“Golongan sasaran yang mempunyai akses Internet boleh mendaftar secara dalam talian di portal PADU dan bagi yang tidak mempunyai akses Internet  boleh mendaftar di kaunter fizikal PEDi, Pejabat Daerah, Penghulu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pusat Internet Desa (PID) dan premis agensi kerajaan persekutuan atau negeri.

“Kaunter fizikal juga turut dibuka setiap hari bekerja di Jabatan Perangkaan Terengganu, Aras 9, Wisma Persekutuan Kuala Terengganu,” katanya.

Jabatan Penerangan Malaysia Terengganu turut membantu mempromosikan PADU melalui hebahan van bergerak Info on Wheels (IoW) dan juga melalui laman media sosial rasmi secara berterusan.

Turut hadir ketua-ketua jabatan dan wakil daripada Jabatan Pendaftaran Negara Terengganu, Jabatan Perhilitan dan Hidupan Liar Terengganu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia Terengganu dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Terengganu.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda