Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tayangan Siaran Langsung Skrin Besar Jadi Trend Masa Kini

By 25 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan

HULU BERNAM, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Umpama menjadi satu trend masa kini apabila tayangan siaran langsung skrin besar dijadikan sebagai salah satu platform bagi mengumpulkan peminat-peminat serta penyokong sesuatu pasukan untuk menyaksikan perlawanan siaran langsung di sesuatu lokasi yang santai secara beramai-ramai.

Trend ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di seluruh negara dan turut dijadikan salah satu acara dalam program-program anjuran pihak kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Para penonton dapat menikmati siaran langsung perlawanan pasukan kegemaran mereka melalui paparan skrin layar bersaiz besar disokong dengan sistem audio yang baik dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kekitaan.

Di Daerah Hulu Selangor baru-baru ini, acara ‘Tayangan Skrin Besar’ bagi siaran langsung perlawanan bola sepak Kempen Piala Asia 2023 antara Harimau Malaya menentang Bahrain turut diadakan di dua lokasi tumpuan orang ramai baru-baru ini di Pusat Perniagaan JRD, Bandar Batang Kali serta di Taman Bahtera, Hulu Bernam anjuran bersama Pejabat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Penyelaras DUN Batang Kali, Saifudin Shafie ketika ditemui kelmarin, berkata penganjuran tayangan siaran langsung skrin besar ini merupakan salah satu usaha dalam mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum khususnya golongan belia di Hulu Bernam di samping membantu meningkatkan lagi ekonomi peniaga-peniaga kecil setempat.

“Program ini turut dijadikan serampang dua mata kepada pihak penganjur dalam mempromosikan pendaftaran Pengkalan Data Utama (PADU) kepada penonton yang berumur 18 tahun yang disampaikan semasa waktu rehat separuh masa pertama dan setelah tamat perlawanan,” katanya yang berhasrat untuk menjadikan tayangan siaran langsung skrin besar ini sebagai acara khusus bagi menyatukan semua persatuan belia di Hulu Selangor.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda