Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Thaipusam: Tujuh Jalan Ditutup di Batu Caves

By 22 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Sebanyak tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan ditutup sempena sambutan Thaipusam pada 25 Januari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata penutupan jalan itu akan bermula jam 10 malam ini sehingga 27 Januari mengikut keadaan semasa.

“Jalan yang akan ditutup adalah di simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Stesen atau Batu Caves ‘Bypass’ dan susur dari arah Bulatan Batu Caves Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Kuil Batu Caves.

“Turut ditutup adalah susur dari arah Gombak MRR2 menghala ke Kuil Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8/Jalan Lama Batu Caves, Jalan Perusahaan menghala ke Batu Caves dan susur simpang tiga lampu isyarat Batu Caves menghala keluar MRR2,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hussein berkata, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan pihak polis yang akan dikemaskini melalui laman facebook Polis Daerah Gombak.

“Para pengunjung yang ingin datang ke Kuil Batu Caves juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bas dan komuter secara percuma seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang perayaan ini berlangsung,” ujarnya.

Menurutnya, kawasan sekitar Kuil Batu Caves juga diisytiharkan kawasan larangan pengoperasian dron.
Pihak yang perlu mengoperasikan dron hendaklah membuat permohonan kepada pihak Penerbangan Awam Malaysia dan memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak gagal mematuhi peraturan ini,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda