Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Komuniti Bukit Gedong Serbu Kaunter Pendaftaran PADU

By 22 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman (Barat Daya)

BATU MAUNG, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Hampir 300 orang penduduk sekitar Bukit Gedong di sini mengambil kesempatan untuk mengisi maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) melalui Program Jualan Rahmah dengan kerjasama perbagai agensi.

Program jelajah anjuran Komuniti Madani Bukit Gedong anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya, Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Pulau Pinang bermula di sini semalam seawal pukul 8.00 pagi bertujuan memudahkan orang ramai mengisi dan mengemas kini maklumat.

Pengerusi Komuniti Madani Bukit Gedong Zaini Ahmad, 55, berharap penduduk di sekitar Mayang Pasir, Bukit Gedong segera datang  untuk mendaftar melalui  sistem PADU agar memudahkan mereka mendapat sebarang bantuan dan subsidi kerajaan pada masa hadapan sekiranya layak.

“Melihat sambutan daripada penduduk kita akan memanjangkan masa pendaftaran ini setiap minggu di pusat aktiviti Bukit Gedong bersama kakitangan Jabatan Perangkaan  di samping akan memperluaskan lagi program sebegini terutama di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Zaini berharap program turun padang sebegini mendapat sambutan yang baik.

“Ianya membantu memudahkan masyarakat mengakses maklumat dan menggunakan peralatan pendaftaran yang disediakan memandangkan jarak untuk ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di kawasan ini adalah sangat jauh,” katanya.

Menurut pengunjung Siti Aminah, 43, dari Pangsapuri Mayang Pasir, Bukit Gedong turut mengambil peluang mendaftar PADU seisi keluarga sambil berkunjung ke Jualan Rahmah di sini.

“Sebagai pekerja industri, saya tiada masa untuk berkunjung ke PEDi dan juga kurang mahir untuk mengisi sistem PADU secara maya,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda