Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pelancaran Produk Kraf Identiti Negeri Perlis

By 22 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat

KANGAR, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan berangkat ke Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis pada pagi ini bagi Pelancaran Produk Kraf Identiti Perlis.

Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia ‘Ainu Sham Haji Ramli, bagi lawatan pada pagi ini, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis telah berkenan melancarkan Produk Kraf Identiti Negeri Perlis.

“Produk kraf yang dilancarkan adalah daripada bidang kraf tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf menggunakan motif inspirasi pokok harum manis dan pokok jati,” titah baginda ketika ditemui selepas lawatan.

Menurut ‘Ainu Sham, produk kraf yang dilancarkan oleh Tuanku adalah mengetengahkan skema warna bendera negeri Perlis iaitu biru dan kuning.

“Selain menyaksikan Demonstrasi Kraf Batik Tanah Liat (clay) dan Batik Linut, Duli-Duli Tuanku juga pada pagi ini turut meluangkan masa menyaksikan Demonstrasi Kraf Wau Sobek oleh Samad Man yang merupakan Adiguru Kraf Wau yang dilantik oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2018.

“Untuk makluman bersama, Adiguru Kraf merupakan usahawan kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan.

“Adiguru Kraf juga berperanan penting dalam usaha memulihara dan memelihara seni kraf negara melalui kesungguhan serta kesediaan untuk mewariskan ilmu dan kemahiran kepada generasi pelapis,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda