Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Acara Yee Sang Mencerminkan Perpaduan

By 19 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Sazarina Mohd Noor/Muhammad Ikhmal Hisyam

PANDAN, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DUN Pandan Indah 2024, di Tapak Pasar Malam Jalan 4/34 Pandan Indah malam kelmarin diserikan dengan acara yee sang yang menjadi perhatian lebih 3,000 orang pengunjung.

Semangat perpaduan dapat dilihat dengan penglibatan tetamu jemputan sewaktu acara yee sang ini. Hidangan yee sang melambangkan kekayaan, kemewahan, kebahagiaan dan kemakmuran pada setiap individu.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya tarian singa, persembahan Pentarama Jabatan Penerangan, kaunter pendaftaran PADU, jamuan makan, angpau dan cabutan bertuah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah Ir. Izham Hashim, majlis seperti ini menunjukkan kepelbagai kaum yang menjadi keistimewaan di Pandan Indah.

“Penglibatan Komuniti Madani Parlimen Pandan mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang ada.

“Pelbagai perayaan disambut bersama-sama menunjukkan kesepakatan, kesepaduan dan harmoni pelbagai kaum dapat disatukan melalui perayaan,” katanya.

Katanya lagi, sambutan Tahun Baru Cina kali ini diharapkan memberikan tuah dengan membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kekayaan kepada semua khusus masyarakat Tionghua.

Turut hadir Timbalan Speaker DUN Negeri Selangor merangkap ADUN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan merangkap ADUN Templer Anfaal Saari, Timbalan Pengarah Cawangan Pentarama Nor Suzaman Abdul Rahman dan Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Selangor Muhammad Faiz Amzar Mohd Arif.

-ZS-

Tinggalkan komen anda