Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bandar Pintar Bakal Wujud di Hulu Kelang

By 7 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

TAMAN MELAWATI, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Bandar Pintar bakal wujud di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak lama lagi.

Ia bakal direalisasikan apabila MPAJ menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) semalam.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerjasama selama 10 tahun itu membolehkan kedua-dua pihak menyediakan perkhidmatan teknologi 5G di semua kawasan Hulu Kelang.

“Kerjasama ini bakal membina satu ekosistem bandar pintar yang akan meningkatkan kualiti hidup penduduk dan pertumbuhan perniagaan di kawasan ini.

“Ini adalah sebahagian daripada kerangka negeri Selangor mencapai sasaran menjadi Negeri Pintar pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Pusat Konvensyen MPAJ, di sini semalam.

Terdahulu, Amirudin menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Yang Dipertua MPAJ Dr. Ani Ahmad bersama Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi.

Sementara itu, Dr Ani dalam ucapannya menyatakan hasrat mewujudkan Bandar Pintar bakal direalisasikan dengan menjalin kerjasama bersama CelcomDigi.

“Antara strateginya adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), ‘dashboard smart city’ dan menaik taraf jaringan internet berkelajuan tinggi,” jelasnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda