Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMASelangor

Warden Lalu Lintas MPAJ Bantu Tangani Kesesakan Jalan Raya

By 7 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang

TAMAN MELAWATI, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah melantik seramai 175 orang Pegawai, Penolong Pegawai dan Pembantu Penguatkuasa Warden Lalu Lintas untuk menangani isu kesalahan parkir awam dan kesalahan-kesalahan lalu lintas di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad, berkata ia selaras dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di bawah subseksyen 3(4B) yang memberi kuasa untuk melantik warden lalu lintas mengikut kesesuaian dan keperluan.

“Mereka akan menguruskan tentang berkaitan lalu lintas di kawasan-kawasan tertentu yang sesak dalam pentadbiran MPAJ bagi membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis.

“Tidak timbul akan berlaku isu pertindihan kuasa kerana kita bertindak atas kuasa yang diberikan kerana JPJ tidak mampu mengawal semua sekali,” katanya.

Jelas beliau, pelantikan Warden Lalu Lintas ini akan membantu pihak berkuasa dalam urusan lalu lintas di peringkat tempatan terutama di waktu puncak.

“Sejak Warden Lalu Lintas ini diwujudkan pada Januari tahun ini, sejumlah 700 kompaun telah dikeluarkan dan mampu mengurangkan kesesakan sebanyak 15 peratus,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Warden Lalu Lintas MPAJ oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Mohd Kamri Kamaruddin dan Penyelaras DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda