Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Bengkel Muzik Lestarikan Warisan Seni Etnik Bajausama di kalangan Belia

By 27 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Dexter Cysonned Ibrahim/Merusin Minuddin (Sabah)

TUARAN, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Peranan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah (PKRBS) semakin relevan dan signifikan dalam melestarikan warisan seni melalui Bengkel Belajar Muzik Tradisi Bajausama.

Menurut Pengurus PKRBS, Muhd Kamaluddin Datuk Mohd Daud, 44, pelaksanaan bengkel tersebut memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai alat muzik tradisi Bajausama antaranya kulintangan, gong, dan gendang.

“Pada hari ini, kita bukan sahaja memberi pengenalan apakah alat muzik Bajausama tetapi juga mengadakan tunjuk ajar atau sesi praktikal bagaimana alat muzik ini dimainkan.

“Saya berharap bengkel ini dapat menyemarakkan lagi minat golongan muda terutama pelajar sekolah untuk mempelajari alat muzik tradisi seterusnya memartabatkan budaya Bajausama agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika ditemui di PKRBS di Kampung Lok Batik di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Pengukuhan dan Hal Ehwal Etnik Lembaga Kebudayaan Sabah, Malik Rahim@Rieno, 52, berkata bengkel seumpama itu wajar dipergiatkan agar pengetahuan mengenai Bajausama dapat dikongsikan kepada komuniti yang berbilang bangsa.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar maklumat yang disampaikan melalui bengkel ini dapat dikongsikan kepada kelompok yang lebih luas sementara memastikan generasi yang akan datang dapat mewarisinya agar tidak pupus,” ujarnya.

Salah seorang peserta bengkel pelajar tingkatan tiga SMK Tun Fuad Stephen Kiulu, Aidan Artt Munsin teruja kerana berpeluang menyertai bengkel tersebut buat pertama kalinya dan dapat mengenali tradisi Bajausama.

“Saya berasa gembira dapat menyertai bengkel ini kerana banyak manfaat yang diperolehi dalam mempelajari seni budaya di Sabah terutama etnik Bajausama.

“Aktiviti seperti ini dapat memberikan peluang untuk saya dan rakan-rakan mengenali muzik tradisi suku kaum Bajausama dan berharap akan ada lebih banyak program seperti ini diadakan pada masa akan datang,” jelasnya.

Sebagai makluman, bengkel Belajar Bermain Muzik Tradisi Bajausama diadakan bersempena dengan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2024 yang diadakan bermula 25 hingga 28 Februari 2024 bertempat di PKRBS, Kampung Lok Batik, Tuaran.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda