Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Tun Abdul Taib – Perginya Bapa Pemodenan Sarawak

By 22 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Borhan bin Ahmad Ulis (Kuching)

KUCHING, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Cuaca mendung di bandar raya Kuching menyaksikan Istiadat Penghormatan Negeri berlangsung dalam suasana sedih di Atrium Dewan Undangan Negeri buat mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Seawal pukul 8.00 pagi, ribuan orang ramai hadir menzahirkan penghormatan terakhir kepada tokoh pemodenan Bumi Kenyalang di era kemuncak pemerintahan Allahyarham sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Menurut mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, legasi Tun Taib dalam memajukan Sarawak diteruskan oleh barisan pelapis yang berwibawa.

“Pengalaman dan tunjuk ajar daripada beliau selama beliau menerajui pimpinan negeri selama 33 tahun diteruskan dengan baik oleh Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem dan kini diterajui oleh Premier Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” ujar beliau semasa ditemu ramah oleh para media.

Sister Rose Wong dari Gereja St. Francis, Kota Samarahan pula, berkata Tun Taib merupakan seorang pemimpin yang dihormati oleh semua kaum dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas beliau sepanjang kariernya.

Muhamad Suhartini, seorang usahawan tempatan berkata beliau hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Tun Taib atas dasar menghargai segala jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memajukan negeri ini.

“Beliau merupakan seorang pemimpin legenda dan bijak berfikir.

“Beliau banyak membantu rakyat serta membawa banyak pembangunan kepada Sarawak,” jelas Suhartini.

Malaysia Aktif juga sempat menemu bual salah seorang rakan media dari Utusan Borneo Jessica Jawing yang telah berkhidmat sejak 2009.

“Sepanjang membuat liputan media semasa Tun Taib menggalas jawatan Ketua Menteri, Tun Taib merupakan pemimpin yang mesra media dan beliau amat disenangi selain mempunyai auranya tersendiri,” ujar Jessica.

Jenazah mantan Yang di-Pertua Negeri telah dibawa ke Masjid Demak untuk solat jenazah sebelum disemadikan di tanah perkuburan keluarga di kediaman beliau, Demak Jaya di sini.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda