Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Harga Murah – Jualan Agro Madani Jadi Pilihan Pengguna

By 28 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Pengguna kini menjadikan Jualan Agro Madani sebagai pilihan utama bagi mendapatkan barangan keperluan harian berikutan harga yang ditawarkan berpatutan dan jauh lebih murah berbanding di pasar raya dan kedai runcit.

Program Jualan Agro Madani yang diadakan di Tapak Pasar Malam Sura Gate anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Dungun, di sini semalam terbukti mendapat reaksi positif orang ramai.

Bagi pengguna Norhayati Ngah, 63, harga yang lebih murah mendorongnya untuk mendapatkan barang keperluan di situ.

“Sebagai contoh, harga satu kilogram (kg) daging dijual pada harga RM28 berbanding di tempat lain antara RM33 hingga RM40.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bekalan ayam segar ,ikan sejuk beku,telur puyuh dan sayur-sayuran daripada usahawan bimbingan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dijual dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus”, katanya.

Mohd Din Abdullah, 68, pula mengajak orang ramai untuk sama-sama hadir ke program ini bagi mendapatkan barangan keperluan segar terus dari ladang.

Menurut pengusaha air balang berasaskan buah asam paya atau dikenali sebagai roselle Ziela Harun, 37, berkata program ini perlu diperbanyak bagi memberi peluang kepada peniaga sepertinya untuk menjual produk mereka secara terus kepada orang ramai.

“Program ini merupakan salah satu platform bagi peniaga untuk meluaskan pasaran dan memberi peluang kepada para usahawan untuk menjana pendapatan melalui jualan produk masing-masing”, ujarnya.

Turut disediakan kaunter fizikal pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Jabatan Perangkaan Negeri Terengganu bagi memudahkan orang ramai dan pengunjung untuk mengemas kini maklumat mereka.

-ZS-

Tinggalkan komen anda