Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kemeriahan Program Khatan Perdana 2024 Sempena Musim Cuti Sekolah

By 20 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)

GERIK, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 67 peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur lima hingga 13 tahun telah menyertai Program Khatan Perdana 2024 Mukim Kerunai DUN Temengor bersempena cuti persekolahan di perkarangan Masjid Al-Amin Kampung Jong, di sini semalam.

Program anjuran Pejabat Penghulu Mukim Kerunai ini mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Kerunai, Masjid Al-Amin Kampung Jong dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor.

Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi selaku penasihat agama Islam di daerah ini menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran program dan berharap setiap masjid di Hulu Perak dimanfaat sebaik mungkin.

“Penganjuran program kemasyarakatan ini telah memberi manfaat kepada komuniti setempat dan tentunya akan menjadi kenangan terindah untuk diingati pada hari mendatang,” katanya ketika merasmikan majlis.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kerunai Sharil Ariff Tun Ahmad berkata, program ini juga melibatkan kerjasama antara beberapa agensi kerajaan dan swasta yang hadir membuka reruai perkhidmatan kepada penduduk setempat.

“Antara perkhidmatan yang dibuka adalah kaunter pandaftaran Pangkalan Data Utama (PADU), pemeriksaan kesihatan, pendaftaran akaun Agro Bank dan Tabung Haji, pameran serta jualan Kedai Bergerak Negeri Perak yang menjual barangan keperluan dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Pengunjung, Muhamad Irfan Nordin, 28, berkata program sebegini sangat bagus dan bermanfaat kepada masyarakat setempat.

“Selain mengeratkan silaturahim, penduduk juga dapat menyelesaikan urusan seperti mendaftar dan mengemas kini PADU melalui kaunter fizikal yang dibuka sempena program,” ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda