Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Mural TARUMT Asah Kemahiran Seni Pelajar

By 25 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim/Johny George Kimlon (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Meskipun tiada kemahiran dan pengalaman melukis, dengan hanya berbekalkan minat, sebuah lakaran mural di bangunan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tun Abdul Rahman (TARUMT) Cawangan Sabah berjaya dihasilkan oleh penuntut TARUMT.

Mural yang berkonsepkan gabungan etnik serta flora dan fauna di Sabah itu dihasilkan bersempena dengan perasmian institut pengajian tinggi berkenaan yang baharu ditubuhkan di negeri ini.

Menurut penuntut tahun satu Jurusan Perakaunan dan Kewangan, Dessy Sarah Andre, 22, aktiviti melukis mural seumpama ini dapat membantu meningkatkan kemahiran melukis selain mendalami keupayaan karya seni mewujudkan persekitaran yang kondusif.

“Di sini saya mendapat tunjuk ajar daripada para pakar pelukis dari Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah iaitu teknik bagaimana mengawal berus warna.

“Saya berasa gembira dapat memberikan sedikit sumbangan dalam proses menghasilkan mural di bangunan universiti ini,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian TARUMT, di sini semalam.

Sementara itu, penuntut Jurusan Diploma Pentadbiran Perniagaan, Luke Alfred Guansing, 22, berkata teknik melukis mural yang dipelajarinya akan dimanfaatkan untuk projek-projek seni yang akan datang.

“Sebelum ini saya langsung tidak tahu tentang teknik mengecat namun kini saya dapat belajar sekurang-kurangnya teknik asas lukisan mural dan berharap ilmu yang diperolehi ini saya dapat menghasilkan lebih banyak lukisan mural pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi Pegawai Eksekutif Kanan TARUMT Cawangan Sabah, Nurulhuda Zainudin, penglibatan JaPen Sabah dalam usaha menghasilkan mural tersebut perlu diberi penghargaan yang turut menyediakan pakar visual untuk menjayakannya.

“Dengan projek ini, diharap lebih kurang 20 pelajar terlibat dapat belajar “floor of the work” dalam penghasilan mural di samping teknik-teknik lukisan daripada JaPen Sabah.

“Dengan ilmu yang diperolehi, kita berharap aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Untuk makluman, projek mural dengan tulisan ‘Beyond Education’ itu dihasilkan bersempena Majlis Perasmian TARUMT Cawangan Sabah yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda