Laporan/foto: Nasrul Abdul Hamid/Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Rakyat Malaysia diseru agar tidak perlu gusar dan bimbang dengan keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Mazreha Ya’akub, berkata isu keselamatan adalah perkara paling penting semasa pembangunan sistem PADU.
“Saya memohon kepada masyarakat tidak perlu bimbang kerana maklumat dan data peribadi di dalam sistem PADU adalah selamat. Dakwaan mengatakan duit di dalam akaun bank akan hilang seperti yang tular dalam media sosial adalah tidak benar.
“Saya juga menyeru dan mengingatkan sekali lagi kepada semua individu yang berumur 18 tahun ke atas untuk segera mengemaskini maklumat peribadi mereka dalam sistem PADU selewat-lewatnya sebelum 31 Mac 2024, jangan menunggu hingga ke saat akhir untuk mengelakkan kesesakan capaian,” katanya ketika wawancara bersama slot lintas langsung Selamat Pagi Malaysia RTM, di sini semalam.
Pembukaan kaunter fizikal pendaftaran PADU yang diadakan di PPR Desa Mutiara memberi peluang masyarakat sekitar khususnya warga Johor Bahru untuk melaksanakan pendaftaran PADU secara bersemuka dengan petugas Jabatan Perangkaan.
Salah seorang penduduk penduduk PPR Desa Mutiara, Awang Saleh, 71, berkata pembukaan kaunter ini sedikit sebanyak memudahkan penduduk setempat untuk membuat pengemaskinian maklumat.
“Dengan pembukaan kaunter fizikal sebegini ianya dapat memberi fahaman yang lebih jelas berkaitan PADU kerana dapat bersemuka secara terus dengan petugas DOSM,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse dan Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor.
-ZS-