
Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024, berkata beliau mahu pengurusan zakat di negara ini berada di tahap yang baik dan cemerlang.
Beliau turut meminta pihak pengurusan zakat mewujudkan kaedah baru bagi memperbaiki kelemahan sistem pungutan zakat.
“Saya minta saudara pengerusi dan pengurusannya bagi tempoh sebulan ini untuk memberi laporan terperinci apa yang dilakukan tahun sebelumnya dan langkah-langkah baru yang boleh meningkatkan lagi prestasi, MAIWP sebagai contoh dan teladan mudah-mudahan untuk negeri-negeri lain.
“Jadi saudara-saudara mempunyai satu bulan dari tarikh ini untuk membukakan laporan lengkap dan juga hala tuju baru, kaedah-kaedah baru, memperbaiki apa-apa juga kelemahan,” jelasnya semalam.
Anwar turut menyampaian cek cura bantuan barangan makanan keperluan asasi berjumlah RM110,485,050 kepada wakil penerima bantuan sara hidup MAIWP.
Selain itu, bantuan pakaian dan peralatan persekolahan bagi sesi 2024 berjumlah RM15,316,832 serta bantuan serupa bagi pelajar luar Wilayah melalui Yayasan Taqwa MAIWP berjumlah RM2,139,200.00 turut disampaikan.
Karnival yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa ini dimulakan dengan MAIWP Fun Run yang menarik penyertaan 500 peserta.
Karnival ini juga menampilkan lebih daripada 100 buah reruai yang mempamerkan jualan usahawan asnaf MAIWP, perkhidmatan pendidikan, institusi kesihatan dan banyak lagi.
-ZS-