Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Sambutan Israk Mikraj Kampung Batu Menunggul Meriah

By 8 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim

PENDANG, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Program Sambutan Israk Mikraj anjuran Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Batu Menunggul, di sini hari ini mendapat sambutan meriah dengan kehadiran ramai pengunjung.

“Kami menyasarkan 1,000 orang kehadiran ke program pada hari ini kerana selain daripada program ceramah Israk Mikraj, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, gerai-gerai jualan, kaunter pemeriksaan kesihatan, kami juga membawa bersama perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mobile,” kata Ketua Muslimat Hal Ehwal Wanita (HELWA), Azimah Arshad.

Program bermula dengan Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil bersama penduduk kampung, ceramah daripada Ustazah Syarifah Noorul Hayati Habib Ilias dan penampilan istimewa penceramah terkenal dari Masjid Al-Busyra Merbok Ustaz Firdaus Firabib.

Orang ramai juga dilihat mengunjungi gerai-gerai jualan dan kaunter pemeriksaan kesihatan sepanjang program sedang berlangsung.

Seawal pukul 9.00 pagi, orang ramai bersama motosikal masing-masing mula mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan motorsikal oleh pihak JPJ.

“Kami membawa perkhidmatan JPJ terus ke lokasi masyarakat setempat bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan dari kami.

“Hasrat kami adalah untuk memudahkan orang awam membayar cukai jalan, memperbaharui lesen kenderaan dan paling utama adalah bagi memudahkan mereka yang ingin membuat pemeriksaan kenderaan bagi cukai jalan tamat tempoh melebihi tiga tahun,” kata Ketua JPJ Mobile Mohd Hafizul Hakimi Mamat.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda