Laporan/foto: Zurina Saad/Zatul Iffah Wahab (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 2,000 orang hadir dalam Program Semarak Cinta Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Muda anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Kuala Muda dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) Negeri Kedah, di sini kelmarin.
Ruang Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) turut bergema dengan alunan selawat dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sempena program tersebut.
Program berjalan lancar dengan pelbagai pengisian menarik antaranya tazkirah Israk Mikraj, alunan marhaban, selawat dan diakhiri dengan tadarus dan khatam al-Quran secara beramai-ramai.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Rozaimi Abd Rahim yang mewakili Pegawai Daerah Kuala Muda dalam ucapan, berkata amat penting untuk generasi kini mendalami al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan kerana di dalamnya terkandung pelbagai ilmu dunia dan akhirat untuk fahami dan di ikuti.
“Realitinya pada hari ini kita lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet berbanding dengan al-Quran.
“Sudah sampai masanya kita beralih kepada penghayatan terhadap al-Quran,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan.
-ZS-