Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Taman Eko Rimba Bukit Mertajam Dibuka Semula kepada Orang Awam

By 7 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Taman Eko Rimba Bukit Mertajam yang terletak di Cherok To’kun telah dibuka semula untuk kunjungan orang ramai setelah ditutup kira-kira dua tahun bermula 1 Februari 2022 yang lalu.

Dalam tempoh tersebut kerja-kerja pembaikan cerun akibat tanah runtuh dan proses menaik taraf laluan pejalan kaki bagi kemudahan pengunjung ke puncak Bukit Mertajam telah dijalankan.

Wajah baharu Taman Eko Rimba Bukit Mertajam dijangka akan memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan pengunjung. Laluan konkrit dibina bagi menggantikan laluan tar sebelum ini yang telah rosak akibat hakisan dan mendapan tanah.

Rata-rata peminat aktiviti mendaki berasa teruja dengan pengoperasian semula taman rekreasi ini yang telah mula menjadi tumpuan pengunjung terutamanya pada hari minggu.

Menurut Chang Yit Sin, ini merupakan kali pertama beliau berkunjung ke sini untuk beriadah setelah ia dibuka semula kepada orang awam.

“Usaha kerajaan menaik taraf kawasan ini perlu dipuji kerana ianya memberi manfaat kepada rakyat,” kelmarin.

Pengunjung mempunyai pilihan untuk mendaki di laluan pejalan kaki atau menunggang basikal dengan selesa di laluan baharu ini. Selain dapat menikmati keindahan flora dan fauna pengunjung juga dapat melihat panorama sekitar bandar Bukit Mertajam dari atas bukit.

Orang ramai boleh berkunjung ke sini bermula pukul 7.00 pagi sehingga 7.00 petang setiap hari. Pengunjung juga dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekitar dan waspada dengan monyet liar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda