Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Abang Bomba Serbu C-Mart Nibong Tebal

By 7 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Selatan)

NIBONG TEBAL, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Kemunculan sekumpulan Abang Bomba di Pasar Raya C-Mart Nibong Tebal kelmarin menimbulkan keterujaan kepada para pengunjung pasar raya tersebut.

Kehadiran para anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang ke pasar raya tersebut adalah untuk Pelancaran Kempen Keselamatan dan Menghapus Bahaya Kebakaran Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat JBPM Negeri Pulau Pinang.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Pulau Pinang PgKB 1 Mohd Shukor Fadzil, penganjuran kempen ini adalah bagi mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan persekitaran yang boleh menjadi penyebab kebakaran.

“Pesanan ini tidak hanya bertumpu kepada kaum Cina sahaja yang akan menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina, tetapi juga kepada semua kaum yang akan mengambil kesempatan yang ada ini untuk pulang ke kampung atau bercuti panjang,” katanya.

Hadir merasmikan majlis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye.

Menurutnya orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dalam pemanduan sempena cuti perayaan ini.

“Sekiranya memandu dalam satu perjalanan yang jauh, berhenti rehatlah untuk seketika bagi menghilangkan penat dan letih, demi keselamatan diri dan keluarga serta periksa tahap keselamatan kenderaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya yang juga merupakan ADUN Kawasan Jawi.

Orang ramai terutamanya kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama dengan motorsikal dan jentera JBPM yang turut dipamerkan bersempena dengan program tersebut. Program turut diserikan dengan penganjuran pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, bas pameran bergerak JBPM dan persembahan tarian singa.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda