Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Kerja Amal Tahun Baru Cina Ceriakan Kanak-Kanak

By 7 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Saberiya Patiroi/ALPH Tuaran(Sabah)

TUARAN, 6 Feb (Malaysiaktif) – Biarpun tergolong dalam kelompok masyarakat yang kurang mampu dan ada antaranya tidak mempunyai sokongan keluarga, kanak-kanak di Rumah Jireh tidak diabaikan terutama menjelang Sambutan Tahun Baru Cina yang akan menjelma tidak lama lagi.

Bertunjangkan tanggungjawab kepada komuniti, Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Tuaran meluangkan masa meraikan kanak-kanak yang kurang berkemampuan merayakan perayaan itu melalui Program Kerja Amal Tahun Baru Cina.

Pengerusi ALPH Tuaran, Datuk Dr. G. Mohan A Gopal Naidoo, berkata lawatan tersebut adalah komitmen pihaknya bagi memastikan nikmat kegembiraan setiap perayaan dikongsi bersama dengan kerjasama pihak pengurusan rumah perlindungan tersebut.

“Pelbagai aktiviti telah dirancang bersama pihak pengurusan Rumah Jireh, turut diadakan penyerahan sumbangan daripada ALPH, bantuan peralatan sekolah, upacara pemotongan kek dan persembahan daripada kanak-kanak.

“Sumbangan dan bantuan ini adalah untuk meringankan beban bagi mengurus keperluan pengurusan rumah kebajikan itu,” katanya ketika ditemui pada Program Kerja Amal Tahun Baru Cina ke Rumah Jireh di sini pada Ahad.

Tambahnya, program kerja amal ini akan sentiasa diteruskan di masa hadapan untuk melahirkan generasi berjiwa Madani di setiap peringkat masyarakat.

“Masyarakat perlu bersatu hati dan prihatin membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ini kerana anak-anak ini adalah tunjang yang akan menggerakkan negara suatu hari nanti,” ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda