Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Tanglung Naga Gergasi Kukuhkan Silaturahim Antara Kaum di Tawau

By 3 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 3 Feb (Malaysiaktif) – Penganjuran Pesta Cahaya Antarabangsa Tawau 2024 menyaksikan seni dan cahaya mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum dan mengukuhkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew Chin Jin, berkata walaupun berbeza kaum dan agama, masyarakat yang tinggal di pekan tersebut tetap menyambut semua jenis perayaan yang diraikan di negeri ini.

“Marilah kita berkongsi kegembiraan bersama-sama tanpa mengira latar belakang etnik, mengukuhkan lagi perpaduan, yang mana perpaduan merupakan kekuatan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis simbolik penyalaan tanglung naga di Fujimart, di sini pada Khamis.

Tambahnya, dengan penganjuran Pesta Cahaya Antarabangsa Tawau 2024 ini, bandar Tawau akan menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menyaksikan keunikan cahaya dan seni tanglung naga.

“Setakat ini, perhiasan naga yang berada di perkarangan itu adalah 88 kaki Panjang dengan ketinggian 22 kaki sekali gus terpanjang pernah dihasilkan di Tawau.

“Terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana saya rasa, kita telah memasang tanglung (perhiasan naga) yang terpanjang di Tawau setakat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Hoo Jian Rung, 40, individu yang bertanggungjawab menyediakan perhiasan lampu tersebut mendedahkan pihaknya mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan perhiasan tersebut.

“Jadi kita mohon, semua yang hadir malam ini, ambil gambar, tularkan perhiasan ini supaya lebih ramai lagi datang ke sini bagi menyaksikan dengan sendiri betapa cantiknya naga yang panjang ini,” ujarnya.

Untuk rekod bersempena Sambutan Tahun Baru Cina, pekan Tawau menganjurkan Light Fest selama lapan hari, bermula pada 1 sehingga 8 Februari ini.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda