Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Bantuan Awal Persekolahan Meringankan Beban Ibu Bapa

By 7 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Lukmannul Hakim/NurulAin

KULAI, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 300 orang pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu telah menerima sumbangan awal persekolahan sempena program ‘Back To School’ anjuran Pusat Khidmat Adun Bukit Batu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor di Dewan Serbaguna Taman Putri Kulai, di sini hari ini.

Menurut ibu kepada salah seorang pelajar dari Taman Putri Kulai, Kamisah Harun, 55, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memberi bantuan ini.

“Saya berharap agar bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat meringankan beban dalam menyediakan peralatan persekolahan anak-anak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern telah menyampaikan sumbangan berupa baucar bernilai RM150 kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Polis Kem, Sekolah Menengah Kebangsaan Kelapa Sawit, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ching Hey serta beberapa sekolah di sekitar Bukit Batu.

“Program ini bukan hanya menyediakan bekalan sekolah atau pakaian semata-mata ia merupakan pembakar semangat untuk anak-anak kita gembira apabila kembali ke sekolah, secara tidak langsung menjadikan mereka cemerlang dalam pelajaran dan akademik.

“Pendidikan adalah sesuatu yang amat penting bagi memastikan setiap rakyat di negara ini tidak tercicir dan ketinggalan dan menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

ADUN Bukit Batu turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri Johor dan semua sukarelawan yang telah memberikan bantuan dan sumbangan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda