Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bina Rumah dan Pelihara Gamat Secara Haram, PATI di Pulau Bangkuran Diserbu

By 9 Mac 2024Mac 11th, 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zainudin Nurdin (Sabah)

BELURAN, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Tidak hanya membina rumah secara haram, pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pulau Bangkuran di daerah Beluran turut memelihara ‘balat’ (gamat) atau nama saintifiknya Holothuria scabra sebagai punca pendapatan untuk hidup secara haram di negeri ini.

Hasil siasatan dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerbu serta merobohkan penempatan PATI tersebut menerusi Operasi Perobohan dan Pengosongan Pulau Bangkuran.

Menurut Inspektor Ketenteraman Awam (IKA) IPD Beluran Muhammad Azran Azizan, operasi tersebut dilancarkan susulan notis pengosongan yang dikeluarkan pihak berkuasa itu sejak sebulan lalu.

“Pihak kita telah memberi notis lebih awal namun masih ada segelintir yang ingkar untuk mematuhi arahan diberikan.

“Dalam operasi ini, 23 struktur dikosong dan dirobohkan termasuk lima struktur pondok, surau, tandas dan dua jeti,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan di Pulau Bangkuran pada Khamis.

Tegasnya, operasi tersebut membuktikan komitmen dan ketegasan pihak berkuasa dalam usaha untuk memastikan tiada lagi penempatan haram PATI dibina di pulau berkenaan dalam tempoh yang akan datang.

“Terdapat seramai 95 individu PATI yang menghuni penempatan haram di pulau tersebut dan operasi ini bukan sahaja menghalang pencerobohan berleluasa malah memastikan pendatang asing tanpa izin tidak membina penempatan tanpa kebenaran.

“Sebagai langkah untuk mengelak pembinaan semula struktur pondok selepas operasi perobohan ini, bahan struktur ini akan dibawa keluar dari pulau,” ujarnya.

Untuk rekod, operasi tersebut melibatkan 16 agensi dengan kekuatan 56 anggota antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim, Imigresen, Esscom, Jabatan Perikanan Beluran, Pejabat Daerah Beluran dan Majlis Daerah Beluran.

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Beluran turut merampas dua kilogram balat yang dipercayai hasil penternakan PATI di pulau tersebut dengan anggaran harga pasaran boleh mencecah sehingga lebih RM700 per kilogram mengikut saiz.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda