Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bubur Lambuk, Resipi Perpaduan Komuniti

By 17 Mac 2024Mac 18th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)

BAGAN DATUK, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Bubur lambuk menjadi juadah enak yang kebiasaannya dimasak secara bergotong-royong terutama pada bulan Ramadan.

Jawatankuasa Masjid Aziziah Batu 10 dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Bagan Datuk telah menjayakan aktiviti memasak juadah ini untuk santapan berbuka puasa para jemaah dan komuniti dalam satu program, di sini pada Jumaat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Aziziah Batu 10 Iswan Ismon, 55, aktiviti memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan merupakan program tahunan masjid tersebut.

“Program ini telah bermula sejak lima tahun lalu. Selain penglibatan masjid, program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan serta perwakilan parti politik di sekitar daerah Bagan Datuk.

“Bagi pihak jawatankuasa masjid, saya mengalu-alukan semua pihak untuk berkerjasama dengan kami dalam melaksanakan program memasak bubur lambuk demi manfaat komuniti setempat,” katanya.

Tambah Iswan yang juga Ketua Kampung Sungai Ipil, selain mengimarah bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat, edaran bubur lambuk yang dimasak ini diharap dapat menceriakan suasana berbuka puasa bersama keluarga.

Sementara itu, kakitangan PPD yang berbangsa India Arul Perumal, 45, tidak ketinggalan menyertai aktiviti memasak bubur lambuk.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya dan pastinya saya berasa teruja kerana terlibat dengan program ini. Walaupun penat, saya berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada rakan-rakan yang berpuasa,” ujarnya.

Edaran bubur lambuk merupakan kemuncak kepada aktiviti gotong-royong tersebut dengan edaran turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy.

Hadir sama Orang Besar Jajahan Bagan Datuk Datuk Dr Khalid Ismail.

-ZS-

Tinggalkan komen anda