Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

JPKKP Jambatan antara Kerajaan dan Rakyat

By 18 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) adalah satu keperluan bagi memudahkan urusan kerajaan dalam mentadbir urus sesebuah kampung dan menggerakkan segala aktiviti kemasyarakatan selain menjadi medium penyaluran maklumat kepada rakyat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pelantikan wakil JPKKP bagi setiap mukim adalah berdasarkan kemampuan dan kelayakan untuk merancang pembangunan sesebuah kampung yang sejahtera.

Tambahnya, wakil yang dilantik diharap mampu memainkan peranan yang efektif sebagai perancang dan pelaksana program-program di kampung.

“Wakil JPKKP perlu mempunyai upaya untuk menggerakkan penglibatan komuniti setempat dan menjadi penghubung di peringkat akar umbi yang akan menyampaikan masalah dan aduan kepada pihak berkuasa apabila berlaku sesuatu isu.

“Sebanyak RM3.18 juta telah diperuntukan untuk JPKKP Negeri Kelantan bagi menguruskan program serta merancang aktiviti bersesuaian,” katanya ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW, di sini kelmarin.

Pengerusi JPKKP Mukim Batang Merbau Wan Alizan Wan Zin, berkata amanah yang telah dipertanggungjawabkan ini diharap mampu mewujudkan kampung yang sejahtera sejajar dengan konsep MADANI.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Haji Zawawi Haji Othman, berkata peruntukan yang telah diterima ini sedikit sebanyak mampu menggerakkan dan membangunkan kemajuan di Negeri Kelantan.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Hajjah Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, pemimpin-pemimpin masyarakat, golongan asnaf dan penduduk tempatan.

Majlis turut meraikan kehadiran 3,000 masyarakat setempat bagi dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.

-ZS-

Tinggalkan komen anda