Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Balai Bomba Peramu
PEKAN, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Masyarakat dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim panas dan kering ini kerana dikhuatiri menyebabkan kebakaran hutan.
Menurut Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Peramu PPgB Wan Samsul Effendi Wan Mahmud yang ditemui semalam, pihaknya sehingga kini telah menerima sebanyak 93 kes melibatkan kes-kes kecemasan dan kebakaran kebanyakannya melibatkan kes kebakaran belukar, lalang, kebun dan hutan sejak Januari hingga Mac tahun ini.
“Dari laporan yang diterima kebanyakan kebakaran berpunca dari pembakaran secara tidak terkawal oleh pemilik kebun yang baru dibuka merebak ke kebun atau belukar bersebelahan,” katanya.
Tambah beliau, ada beberapa faktor menyebabkan anggotanya menghadapi kesukaran dalam operasi pemadaman seperti ketiadaan sumber air, anggota yang berpuasa, cuaca panas terik di siang hari dan keadaan gelap bila berlaku waktu malam.
“Antara risiko lain yang dihadapi anggota ialah terjerlus masuk ke dalam lubang-lubang perigi tinggal semasa operasi berjalan, selain itu juga anggota operasi berdepan dengan ancaman strok haba serta ancaman haiwan dan serangga berbisa apabila memadam kebakaran di dalam semak samun,” katanya.
Beliau menasihatkan kepada orang ramai jangan sekali-kali membuat pembakaran secara terbuka dan jika pembakaran terpaksa dilakukan pastikan ada kawalan dan hubungi segera pihak bomba jika didapati berlaku sesuatu kebakaran di kawasan hutan bagi mengelakkan berlaku lebih besar.
-ZS-