Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Forum Jiwa Madani Perjelas Kedudukan Mahkamah Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan

By 21 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Amir Hamizan Mohd Yusoff/Noor Haswan Noor Azman

TUNJONG, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Forum Jiwa Madani : Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah Di Malaysia di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini hari ini telah diadakan bertujuan memberi pendedahan dan menjawab persoalan yang lebih jelas berkenaan kedudukan Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pengarah ICU (JPM) Norma Ya’cub, berkata forum ini diadakan bagi memberi pencerahan kepada orang ramai dan kefahaman mengenai isu berkaitan Mahkamah Syariah dan berharap forum seperti ini akan dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Haji Zamri Zainal Abidin, berkata forum ini dilaksanakan buat julung kalinya di eringkat negeri selepas forum peringkat kebangsaan diadakan di Kompleks Nasrul Quran, Putrajaya.

“YADIM adalah salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan usaha-usaha dakwah dan memperbetulkan persepsi masyarakat menerusi pengislahan pemikiran,” katanya.

Program kolaborasi bersama empat agensi kerajaan iaitu Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan di bawah Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kelantan, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) Negeri Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Kelantan dibarisi pakar-pakar yang berpengalaman dalam bidang undang-undang sivil dan syariah.

Antara panel yang hadir ialah Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Haji Nik Saiful Adli Burhan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan Wan Adam Al Baqir Mohd Nordin.

Turut hadir Pengarah YADIM Negeri Kelantan Haji Mahadi Awang, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor dan wakil Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Haji Ahmad Riduwan Haji Mohd.

-ZS-

Tinggalkan komen anda