
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Hafizuddin Abd Halim
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik sebanyak 107 syarikat pengendali bas di Kuala Lumpur dengan penggunaan 221 unit pelbagai jenis kenderaan seperti bas dan van bagi menampung jumlah pelajar yang memerlukan perkhidmatan MySchoolBus @ Wilayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, berkata sebanyak RM13 juta hingga RM15 juta telah diperuntukkan setiap tahun bagi membiayai program yang telah dimulakan sejak tahun 2017 yang membabitkan kos RM100 untuk setiap pelajar bagi setiap tahun.
“Program ini menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada semua pelajar yang tinggal di 64 kawasan Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 127 kawasan Perumahan Kos Rendah (KR) serta sembilan Kawasan Perumahan Swasta Kos Rendah (KSR) terpilih yang memberi manfaat kepada hampir 12,000 orang pelajar setiap tahun,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pelekat Korporat MySchoolBus @ Wilayah di Institut Latihan DBKL, di sini semalam.
Pengusaha bas di PPR Intan Baiduri, 50, Juliana Yeop, berkata program seperti ini adalah sangat membantu ibu bapa dalam mengurangkan perbelanjaan persekolahan serta kebimbangan ketika anak pergi dan balik sekolah.
“Dengan adanya perkhidmatan MySchoolBus ianya dapat menggalakkan anak-anak lebih bersemangat untuk pergi ke sekolah dan mewujudkan satu hubungan yang baik antara pengusaha bas dan ibu bapa,” kata pengusaha bas di PPR Setapak Air Panas Zon 8 Manisha Raja Kumar.
-ZS-