Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kembali ke Sekolah: Ibu Bapa Bijak Berbelanja Ikut Kemampuan

By 7 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)                                                          

KOTA KINABALU, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Hanya tinggal beberapa hari sebelum cuti persekolahan berakhir, rata-rata premis menjual barangan kelengkapan sekolah dipenuhi pelanggan terutama dari kalangan ibu bapa dan para pelajar.

Menerusi tinjauan yang dilakukan oleh Malaysia Aktif di sekitar Kota Kinabalu, kebanyakan ibu bapa memilih untuk membeli barangan kelengkapan sekolah anak-anak di premis yang menawarkan harga yang murah agar sesuai dengan perbelanjaan masing-masing.

Antara ibu bapa yang ditemui, Mohd Saripuddin Nurung, 47, berkata, premis barangan kelengkapan sekolah di sekitar kawasan Asia City antara pilihannya kerana mempunyai banyak pilihan selain menawarkan harga yang berpatutan.

“Setiap tahun saya akan pergi ke sini kerana agak mudah untuk saya mencari barangan kelengkapan kerana semua barangan ada di sini.

“Macam saya ada anak Tahun 2 dan Tingkatan 3, jadi mudah untuk saya mencari barangan anak-anak kerana di sini barangan untuk sekolah rendah maupun sekolah menengah semuanya ada jadi ia amat menjimatkan masa saya berbelanja,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Bagi Hadijah Mohd Daud, 29, sebagai ibu yang mempunyai anak yang baru melangkah ke alam persekolahan, beliau menasihatkan agar ibu bapa bijak dalam membuat pilihan kedai sebaiknya merancang antara keperluan atau kehendak.

“Semasa belajar dulu, saya memang membeli di kedai ini dan kini saya memilih kedai ini juga untuk mendapatkan barangan anak saya kerana harga yang murah, kualiti baik dan memuaskan.

“Walaupun kedai di sini jadi tumpuan ramai dan bersesak-sesak namun ia tidak menjadi masalah kepada para ibu bapa untuk membeli barang sekolah anak-anak yang diperlukan sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Sofia Dalle, 21, biarpun tidak ditemani ibu bapa, dia tidak menghadapi kesukaran membeli keperluan sekolah untuk adik-adiknya biarpun berbeza umur dan saiz pakaian.

“Walaupun saya datang bersama adik-adik saya, proses memilih pakaian atau keperluan sekolah di setiap premis sangat mudah selain kualiti barangan yang dijual juga baik dan sesuai dengan harga yang ditawarkan,”ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda