Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Hati Buyah antara Menu Pilihan “Sungkai’’ di Bazar Lintasan Deasoka

By 15 Mac 2024Mac 18th, 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Biarpun berbagai jenis pilihan masakan dan menu yang dijual peniaga di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, masakan tempatan seperti hati buyah atau paru lembu tetap menjadi pilihan utama pengunjung bazar di Kota Kinabalu.
Baik digoreng berempah atau dimasak dengan kicap, hati buyah merupakan antara menu istimewa yang juga boleh didapati di mana-mana bazar Ramadan di seluruh negeri ini dengan pelbagai kaedah penyediaan.

Antara pengunjung bazar Ramadan yang ditemui, Zack Rohim, 24, berkata, lauk hati buyah di bazar Ramadan Lintasan Deasoka ini menepati citarasanya selain kualiti masakannya yang konsisten.

“Cara masakan hati buyah yang dijual seperti di bazar Ramadan ini cukup istimewa dan susah untuk didapati di tempat lain, biasanya saya boleh habiskan sehingga 10 ke 12 cucuk setiap kali menikmati menu ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini pada Rabu.

Sementara itu, penjaga gerai nasi lemak, Intan Rekin, 42, memberitahu, mereka turut menjadikan hati buyah antara 12 lauk yang dipadankan dengan nasi lemak yang dibuat menggunakan resepi sambal sendiri.

Dengan harga serendah RM5 untuk nasi lemak berlauk, aktiviti jualan di gerai tersebut sentiasa sibuk melayan pengunjung yang datang membeli seawal jam 2 petang waktu bazar Ramadan tersebut mula beroperasi.

“Di gerai nasi lemak berlauk ini kami tawarkan 12 jenis nasi lemak juga nasi lemak biasa dengan harga RM3, selain pelanggan boleh memilih lauk yang disediakan termasuk nasi lemak hati buyah, udang petai, sotong petai, kerang dan ayam,” jelasnya.

Tidak hanya hati buyah, Bazar Ramadan Lintasan Deasoka yang beroperasi sehingga jam 7 malam itu juga menawarkan pelbagai masakan tempatan negeri Sabah di samping masakan lain yang kebiasaannya dijual di bazar Ramadan seluruh negara.

Menurut Marsuadi Saiman, 47, selain menjadi sumber rezeki kepada peniaga, beliau teruja dengan penyediaan bazar Ramadan yang menggumpulkan pelbagai jenis masakan yang terkadang sukar didapati pada hari biasa.

“Setiap kali Ramadan, saya akan ke bazar ini bagi mendapatkan menu kegemaran saya iaitu rendang daging daripada Restoran Seri Sempelang dan martabak Jawa.

“Martabak Jawa di sini bukan seperti martabak yang biasanya dimasak dengan sayur dan telur saja , martabak ini mengandungi daging yang dimasak dengan resepi khas sekaligus menjadikan ia lebih sedap berbanding martabak biasa,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda